Tuesday, March 26, 2013

CURANG : Orang ketiga berdepan hukuman penjara..

CURANG..!!!!!!

Majlis agama kuat kuasa undang-undang, individu punca rumah tangga runtuh boleh dipenjara 3 tahun.

Kuala Lumpur: Orang ketiga yang menyebabkan hubungan suami isteri berantakan kini berdepan tindakan undang-undang kerana perkembangan terkini menunjukkan mereka perosak institusi kekeluargaan Islam dan antara punca meningkatnya kes perceraian, terutama dalam kalangan pasangan muda.

Ketua Pengarah Jabatan Kehakiman Syariah, Tan Sri Ibrahim Lembut berkata, tindakan ke atas orang ketiga itu bakal dikuatkuasakan dengan lebih tegas dan meluas di Wilayah Persekutuan mengikut Akta Kesalahan Jenayah Syariah 1997 (Akta 559).

“Seksyen 36 membenarkan orang disabit bersalah didenda tidak melebihi RM5,000 atau penjara tiga tahu atau kedua-duanya atas kesalahan memujuk lari perempuan bersuami.

“Seksyen 37 pula merujuk kepada kesalahan menghalang pasangan sudah bernikah daripada hidup bersama sebagai suami isteri dan mereka yang disabit kesalahan itu boleh didenda RM2,000 atau penjara setahun atau kedua-duanya,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Bengkel Pengukuhan Institusi Kekeluargaan Islam anjuran Bahagian Sokongan Keluarga (BSK) di Mahkamah Syariah Kuala Lumpur (MSKL), di sini, semalam.


Penguatkuasaan diharap jadi pengajaran

“Tindakan atau hukuman denda RM1,000 dan penjara boleh diambil terhadap individu mahupun pihak ketiga yang mengganggu perkahwinan pihak lain sehingga menyebabkan perceraian.

“Akta ini sudah lama digubal, tetapi tidak dikuatkuasakan mungkin kerana ramai yang tidak tahu mengenainya, dan penguatkuasaannya diharap dapat dijadikan pengajaran atau penghalang kepada keruntuhan rumah tangga,” katanya selepas Bengkel Pengukuhan Institusi Kekeluargaan Islam anjuran Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia, di sini, semalam.

Hadir sama, Pengerusi Jawatankuasa Kerja Bahagian Sokongan Keluarga (BSK) JKSM, Datuk Kamilia Ibrahim dan Ketua Hakim Syarie Mahkamah Syariah Wilayah Persekutuan, Mohd Amran Mat Zain.

Seminar sehari itu dihadiri lebih 150 peserta daripada pelbagai agensi dan pertubuhan bertujuan memberi pendedahan mengenai isu semasa dalam institusi kekeluargaan.
Berdasarkan statistik, sebanyak 222,701 kes perceraian dalam kalangan orang Islam dicatat sejak 2001 hingga 2011 dan satu daripada punca perceraian disebabkan kehadiran orang ketiga.

Terdahulu, dalam ucapannya, Ibrahim berkata, Bahagian Sokongan Keluarga (BSK) berjaya menyelesaikan 2,040 atau 81.7 peratus daripada 2,497 aduan membabitkan isu nafkah menerusi proses runding cara sejak ditubuhkan pada 2008. 


IBRAHIM (kanan) berbincang dengan Kamalia selepas merasmikan Bengkel Pengukuhan Institusi Kekeluargaan Islam, semalam.
Turut hadir, Ketua Hakim Syarie MSKL, Mohd Amran Mat Zain dan Pengerusi Jawatankuasa Kerja BSK, Datuk Kamilia Ibrahim.


No comments:

Post a Comment